Pages

Sunday, 4 March 2018

CATATAN ILMU #TAUHID #2

CATATAN ILMU #TAUHID #2
HUKUM MEMPELAJARI ILMU TAUHID

🔸Ilmu tauhid merupakan salah satu daripada 3 ilmu yang fardu ain. Maka, wajib syarak ke atas mukallaf (orang yang baligh, berakal, sempurna pancaindera dan sampai dakwah kepadanya) untuk mempelajarinya.

🔸Wajib syarak bermaksud perkara yang dijanji dengan siksa kerana dosa meninggalkannya dan lepas tuntutan apabila melakukannya.

🔸Sampai manakah perlu belajar untuk lepas tuntutan fardu ain bagi ilmu tauhid? Iaitu mempelajarinya sehingga mengetahui dalil IJMAL (dalil ringkas). Adapun, mengetahui dalil tafsili (terperinci) adalah fardu kifayah tetapi sewajarnya seorang penuntut ilmu mempelajarinya hingga mengerti akan dalil tafsili supaya ia dapat menolakkan keraguan yang didatangkan kepadanya.

🔸Apakah boleh bertaqlid (ikut cakap orang tanpa mengetahui dalil) dalam ilmu tauhid? Jawabnya, ulama mutakallimin khilaf pada menghukumkan orang yang bertaqlid dalam perkara aqidah. Terdapat 2 pendapat yang masyhur :

1⃣Qaul (pendapat) daripada jumhur mengatakan bahawa sah iman orang yang bertaqlid tetapi dia berdosa jika dia itu ahli nazor (orang yang mampu berfikir dengan akal yang sejahtera). Namun bagi yang bukan ahli nazor, sah imannya dan tidak pula berdosa.

2⃣Qaul Imam Sanusi pula mengatakan KUFUR orang yang bertaqlid pada aqidah. Walaupun, ini merupakan pendapat yang dhoif, namun ianya perlu disebut juga demi menggerunkan orang awam supaya mereka berusaha mempelajari ilmu tauhid.

✅Maka, kedua-dua khilaf ulama ini adalah tetap tidak selamat bagi kita (ahli nazor). Jadi, sewajarnya bagi kita untuk keluar daripada khilaf ulama dengan mempelajari ilmu tauhid secara berguru.

Imam Ibrahim Al-Laqqani menyebutkan di dalam kitabnya, Matan Jauharah Tauhid "Sesiapa yang bertaqlid pada aqidah, imannya tidak terlepas daripada keraguan".

@catitanilmutauhid Aida Syuhada

No comments:

Post a Comment